Kegagalan menjana idea baharu yang mampu menangani isu kritikal negara akan memperburukkan lagi cabaran sedia ada, sekaligus menghambat kemajuan Malaysia secara menyeluruh dan berisiko menyebabkan negara ketinggalan dalam persaingan global yang semakin sengit.
Cabaran hidup yang dihadapi rakyat Malaysia semakin kompleks dan mendesak. Isu sosial seperti keselamatan rakyat dijalanraya, kemiskinan yang masih wujud, ketidaktentuan ekonomi, masalah kesihatan mental, serta keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan.
Sektor keterjaminan makanan juga masih memberi kesan kepada masyarakat termasuk isu kekurangan tenaga kerja, kebergantungan tinggi kepada pekerja asing, perubahan iklim serta keterbatasan kawasan tanaman yang semakin terhad akibat pembangunan dan perubahan guna tanah.
Selain itu, kos sara hidup yang meningkat dan bencana alam seperti banjir yang kerap berlaku menambah tekanan kepada kehidupan harian rakyat, terutama golongan B40 yang masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Situasi ini menuntut tindakan segera dan bersepadu daripada semua lapisan masyarakat untuk mencari penyelesaian yang bukan sahaja bersifat jangka pendek tetapi juga mampan.
Ideologi “belayar tapeh, betiang betis” merupakan bidalan Melayu lama yang menggambarkan keperluan berdikari dan berusaha menyahut cabaran hidup tanpa bergantung kepada orang lain, sekaligus menggambarkan semangat kreatif dan daya usaha dalam mencari penyelesaian. Inilah semangat bangsa yang telah wujud sejak dahulu lagi bagi membangkitkan kearifan lokal rakyat dan harus diterapkan sehingga kini.
Tanpa penglibatan aktif rakyat mencungkil bakat yang lahir daripada kearifan lokal dalam mencipta solusi, usaha kerajaan dan pihak berkepentingan mungkin kurang menyeluruh dan kurang tepat sasarannya.

Rakyat Pemacu Inovasi: Langkah Membudaya Idea Kreatif
Penyertaan rakyat Malaysia dalam IdeaVault amat penting kerana negara kini berdepan pelbagai cabaran kompleks seperti kesenjangan ekonomi, jurang pendapatan, pengangguran belia, dan tekanan kos sara hidup yang memerlukan penyelesaian inovatif dan praktikal untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Tanpa idea dan cita-cita baharu, usaha menangani isu-isu kritikal ini akan terbantut dan boleh menjejaskan kemajuan negara secara keseluruhan. Penyebaran aplikasi kecerdasan buatan (AI) juga sudah pasti akan dapat membantu rakyat Malaysia menyuburkan idea dan solusi yang menarik, bermutu serta praktikal dengan lebih banyak lagi.
Artikel penuh di https://www.majalahsains.com/ideavault-pemacu-idea-progresif-rakyat-malaysia/
Penulis: Inv. Asrizam Esam
Pegawai Penyelidik Kanan
Ketua Seksyen Korporat dan Hubungan Strategik
Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia (UPM)







